Tuesday, March 24, 2009

PINJAMAN "TEKUN"

Assalamualaikum Sdr Sdri penganggur,

Seorang rakan saya memberitahu bahawa masih ada ramai orang yang tidak tahu berkenaan pinjaman TEKUN. Ini dihebahkan suatu berita berkenaan TEKUN yang dipetik dari Berita Harian siaran Rabu, 11 Mac 2009 (14 Rabiulawal 1430) dalam bahagian EKONOMI bertajuk "Tekun agih pinjaman mikro RM500 juta" oleh Sariha Mohd Ali
(sariha@bharian.com.my)

TEKUN Nasional (Tekun) akan mengagihkan pinjaman mikro tanpa cagaran berjumlah kira-kira RM500 juta tahun ini yang dapat memberi peluang kira-kira 30,000 usahawan baru memulakan perniagaan, terutama di kalangan mereka yang berminat menceburi bidang keusahawanan selepas diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan, berkata jumlah itu meningkat RM100 juta berbanding pinjaman RM400 juta yang dikeluarkan kepada 25,000 usahawan kecil sepanjang tahun lalu.

Katanya, pada Januari tahun ini saja, Tekun mengagihkan pinjaman berjumlah RM92 juta kepada 6,000 usahawan kecil dalam usaha membantu dan menggalakkan mereka menjana pendapatan lebih baik, walaupun ekonomi global pada masa ini agak perlahan.
"Sepanjang 2008, kita mengeluarkan pinjaman mikro berjumlah RM400 juta dengan 50 peratus daripada 25,000 penerimanya adalah di kalangan usahawan wanita, walaupun pada awalnya sasaran kita hanya untuk menyalurkan peruntukan berjumlah RM160 juta.

"Justeru, bagi tahun ini, kita jangka jumlah permohonan untuk mendapatkan pinjaman Tekun terus meningkat, terutama di kalangan mereka yang diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi dengan sasaran peruntukan RM500 juta bakal diagihkan kepada pemohon yang berjaya," katanya ditemui selepas menghadiri majlis Anugerah Tokoh Wanita Program Perniagaan Dari Rumah (PHBB) Cemerlang Malaysia 2008 dan penubuhan Koperasi Dagang Seni Malaysia (KDSM) di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis itu disempurnakan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah Sultan Iskandar.
Hadir sama, isteri Ketua Setiausaha Negara (KSN), Puan Seri Wan Noorlina Wan Hussin yang juga Yang Dipertua Puspanita Malaysia; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), Datuk Musa Muhamad; Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur; dan Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK), Fully Chye Goet Lee.

Abdul Rahim berkata, bantuan disediakan pihaknya itu juga boleh dimanfaatkan kakitangan sektor awam yang berminat menambah pendapatan menerusi perniagaan dan ia selaras saranan kerajaan yang menggalakkan kakitangannya menjalankan kerja tambahan untuk meringankan beban keluarga.

Katanya, pinjaman antara RM10,000 hingga RM50,000 tanpa penjamin dan cagaran boleh diluluskan dalam tempoh kurang daripada 14 hari.

"Proses bagi mendapatkan pinjaman Tekun sangat mudah kerana perniagaan yang mereka jalankan itu tidak memerlukan pendaftaran perniagaan.
"Ia bermakna, apa saja perniagaan yang ingin diusahakan boleh mendapatkan kemudahan pinjaman disediakan kerajaan, kerana paling penting mereka perlu berusaha menjadikan sektor diceburi itu mampu menampung sara hidup dan membayar semula pinjaman yang diperoleh.

"Tekun mengenakan faedah pinjaman empat peratus setahun dan mereka yang menghadapi masalah untuk melakukan pembayaran, boleh membuat penstrukturan semula. Setakat ini, kita bangga kerana 75 peratus daripada peminjam berjaya melunaskan pinjaman mereka mengikut jadual ditetapkan," katanya.

Mengulas PHBB, Abdul Rahim berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan sektor swasta bagi membolehkan program dilaksanakan mampu meningkatkan taraf hidup peniaga terbabit.

"Contohnya, kerjasama yang kita jalin dengan PSJK ini adalah baik dalam usaha melatih wanita atau sesiapa saja yang berminat dalam bidang jahitan untuk meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan," katanya.

Apa macam. Cubalah. Juga jangan lupa checkout apa yang ditawarkan oleh MalaysiaHalalMall.com yang sedang mencari 1,000 usahawan tekno.

Itu saja buat masa ini. Nak pegi cari kerja. Wassalam.

Sahabat